SKIM KESELAMATAN SOSIAL PEKERJAAN SENDIRI

LATAR BELAKANG


Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Sebagai permulaan skim ini diwajibkan ke atas Sektor Pengangkutan Penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 berkuatkuasa mulai 1 Jun 2017.

Mulai 1 Januari 2020, perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain seperti berikut:

Pengangkutan Barangan dan Makanan Perniagaan Online
Pertanian Teknologi Maklumat
Penternakan Pemprosesan Data
Perhutanan Ejen
Perikanan Perkhidmatan Profesional
Makanan Perkhidmatan Sokongan
Pembuatan Kesenian
Pembinaan Perkhidmatan Isi Rumah
Penjaja Penjagaan Perawatan dan Pemulihan Kesihatan
Premis Penginapan

Individu bekerja sendiri yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.


PERLINDUNGAN SKIM KESELAMATAN SOSIAL PEKERJAAN SENDIRI


Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan

Bencana Pekerjaan Sendiri ertinya kecederaan diri pada orang berinsurans bekerja sendiri yang disebabkan oleh suatu kemalangan atau suatu penyakit pekerjaan akibat daripada dan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendirinya termasuk semasa dalam perjalanan yang berkaitan dengan aktiviti pekerjaan sendirinya.

Penyakit pekerjaan adalah penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan yang dinyatakan dalam Jadual Kelima Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Skim ini menyediakan faedah tunai kepada orang berinsurans bekerja sendiri dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

KELAYAKAN

Warganegara Malaysia / permastautin tetap tanpa mengira had umur; dan
Individu yang menjalankan pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah.

DOKUMEN DIPERLUKAN

  • Salinan kad pengenalan
  • Salinan lesen / kad pemandu / profil e-haling / permit / sijil atau surat pengesahan dari persatuan atau agensi yang berkaitan tertakluk kepada jenis sektor yang dipilih.

PEMBAYARAN CARUMAN

  • Pembayaran caruman secara tahunan atau bulanan.
  • Kaedah pembayaran secara tunai boleh dibuat di semua pejabat PERKESO
  • Kaedah online melalui perbankan internet di matrix.perkeso.gov.my. (Untuk panduan sila pilih butang ‘Bantuan’).

JADUAL PILIHAN CARUMAN

Kadar caruman berdasarkan pilihan seperti di bawah:


Pelan Pendapatan Bulanan Pilihan Yang Diinsuranskan Bayaran Caruman Bulanan Bayaran Caruman Setahun
1 RM1,050 RM13.10 RM157.20
2 RM1,550 RM19.40 RM232.80
3 RM2,950 RM36.90 RM442.80
4 RM3,950 RM49.40 RM592.80

FAEDAH - FAEDAH YANG DISEDIAKAN

  • Faedah Perubatan
  • Faedah Hilang Upaya Sementara
  • Faedah Hilang Upaya Kekal
  • Faedah Elaun Layanan Sentiasa
  • Faedah Orang Tanggungan
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional
  • Faedah Pendidikan

FAEDAH PERUBATAN

  • Orang berinsurans bekerja sendiri yang ditimpa bencana pekerjaan sendiri boleh mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik / hospital Kerajaan; atau
  • Membuat tuntutan bayaran ganti belanja kos rawatan di Pejabat PERKESO.

FAEDAH HILANG UPAYA SEMENTARA

  • Faedah Hilang Upaya Sementara dibayar kepada orang berinsurans bekerja sendiri yang ditimpa bencana pekerjaan sendiri sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor. Tempoh cuti sakit mestilah sekurang-kurangnya empat (4) hari termasuk hari kemalangan.
  • Perlu mengemukakan sijil cuti sakit.
  • Kadar bayaran RM30.00 - RM105.33 sehari berdasarkan pelan caruman yang dipilih.

FAEDAH HILANG UPAYA KEKAL

  • Hilang upaya kekal ertinya hilang upaya yang berkekalan hingga mengurangkan keupayaan seseorang untuk menjalankan pekerjaannya. Tuntutan boleh dibuat selepas tamat tempoh cuti sakit.
  • Kadar bayaran sebanyak 90% dari pilihan pendapatan bulanan yang diinsuranskan.
  • Contoh pengiraan Faedah Hilang Upaya Kekal (bayaran pukal) jika taksiran sama dengan 20% dengan faktor umur 8873 (umur bawah 20 tahun) dan kadar caruman RM592.80.
    = (RM3,950 X 90% ÷ 30 hari) X 20% X 8873
    = RM210,290.10

ELAUN LAYANAN SENTIASA

  • Elaun yang diberikan kepada orang berinsurans bekerja sendiri yang tidak berdaya dengan teruknya akibat bencana pekerjaan sendiri sehingga memerlukan layanan tersendiri oleh orang lain.
  • Elaun bulanan sebanyak RM500.00.

FAEDAH ORANG TANGGUNGAN

  • Faedah Orang Tanggungan dibayar secara bulanan kepada orang tanggungan yang layak sekiranya orang berinsurans bekerja sendiri meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri.
  • Kadar bayaran sebanyak 90% daripada pilihan pendapatan bulanan yang diinsuranskan.
  • Orang Tanggungan Yang Layak Balu atau duda dan anak berumur di bawah 21 tahun. Jika tiada balu, duda atau anak
    1. Ibu atau bapa; atau
    2. Adik-beradik berumur dibawah 21 tahun; atau
    3. Datuk nenek
  • Duda/balu, ibu/bapa, datuk/nenek menerima faedah sepanjang hayat
  • Anak menerima faedah sehingga berumur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal). Jika sedang belajar di IPT, terima faedah sehingga mendapat ijazah pertama atau berkahwin (mana yang lebih awal)
  • Contoh pengiraan bayaran Faedah Orang Tanggungan kepada Isteri dan Anak.
    PELAN PENDAPATAN BULANAN PILIHAN YANG DIINSURANSKAN PENCEN BULANAN
    1 RM1,050 RM1,050 X 90% = RM945.00
    2 RM1,550 RM1,550 X 90% = RM1,395.00
    3 RM2,950 RM2,950 X 90% = RM2,655.00
    4 RM3,950 RM3,950 X 90% = RM3,555.00

FAEDAH PENGURUSAN MAYAT

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.00 dibayar kepada orang tangungan yang layak sekiranya orang berinsurans bekerja sendiri meninggal dunia akibat daripada bencana pekerjaan sendiri atau semasa menerima faedah hilang upaya.

KEMUDAHAN PEMULIHAN JASMANI ATAU VOKASIONAL

  • Kemudahan permulihan dan vokasional secara percuma.
  • Pemulihan jasmani seperti fisioterapi, pembedahan rekonstruktif, anggota tiruan, rawatan hemodialisis, kerusi roda, tilam khas, tongkat, commode chair, lampin dan lain-lain.
  • Kemudahan vokasional seperti latihan dalam bidang elektrikal, jahitan, membaiki radio dan lain-lain.

FAEDAH PENDIDIKAN

Faedah Pendidikan merupakan suatu kemudahan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa kepada anak bagi Orang Berinsurans bekerja sendiri yang mati akibat bencana pekerjaan sendiri atau menerima bayaran berkala faedah hilang upaya kekal dan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.